Thursday, March 18, 2010

Pengumuman tepat pada masanya


Pengumuman tepat pada masanya

IPOH 17 Mac - Pengumuman Tan Sri Ong Ka Ting untuk bertanding jawatan Presiden MCA pada pemilihan baru parti itu diibaratkan tepat pada masanya.
Malah tindakan bekas Presiden MCA tersebut sememangnya dinanti-nantikan oleh beberapa bahagian parti itu yang sudah bosan dengan pergeseran dan masalah dalaman.
Ketua MCA Bahagian Kuala Kangsar, Ng Kean Sean berkata, tindakan Ka Ting itu boleh menjadi penyelamat kepada MCA yang kini sedang 'lemas' kerana mempunyai dua pemimpin yang tidak sehaluan.
"Semasa beliau (Ka Ting) menjadi Presiden MCA dulu, semuanya baik-baik sahaja berbanding sekarang ini yang terlalu kelam-kabut. Orang nombor satu dan nombor dua parti tidak boleh duduk bersama untuk kepentingan masyarakat Cina.
"Hanya pemimpin yang berpengalaman sahaja yang mampu menyatukan kembali semua masyarakat Cina. Dalam situasi ini, Tan Sri (Ong Ka Ting) adalah calon yang paling layak kerana beliau mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat Cina.
"Malah, beliau (Ka Ting) juga baik dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Ka Ting yang mengumumkan bertanding jawatan presiden pada pemilihan baru MCA pada 28 Mac ini menentang penyandang jawatan, Datuk Seri Ong Tee Keat.
Menurut Kean Sean, sebagai seorang pemimpin yang berkecuali, Ka Ting diyakini mampu menyatupadukan semua kumpulan sebelum menjelang pemilihan parti dan pilihan raya umum akan datang.
"Kita menyokong penuh hasrat beliau (Ka Ting) untuk bertanding merebut jawatan tersebut kerana beliau seorang yang berpengalaman dan sangat berwibawa sebagai pemimpin.
Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Sungai Siput, Simon Shien yakin Ka Ting mampu menjadi penyatu kepada masyarakat Cina kerana sifat peribadi bekas Presiden MCA itu yang sangat mesra rakyat.
Justeru, beliau yakin Ka Ting boleh menyaingi Tee Keat pada pertandingan tersebut dan kembali memimpin parti.
"MCA Bahagian Sungai Siput menyokong Tan Sri (Ong Ka Ting) kerana beliau seorang pemimpin yang bagus. Kami yakin 65 peratus beliau boleh menang kerana pernah menerajui parti," katanya.
Timbalan Ketua MCA Bahagian Batu Gajah, Datuk Lee Kon Yin pula berkata, Ka Ting memang dikenali sebagai pemimpin yang berkelayakan dan mampu mengumpulkan mana-mana pihak untuk bersatu.
Katanya, Ka Ting juga dikenali sebagai seorang pemimpin jujur, ikhlas dan berwibawa kerana semasa menjadi Presiden MCA , tiada pergolakan dalaman berlaku.
"Saya kenal beliau (Ka Ting) sejak tahun 80-an lagi. Memang dia yang paling layak menjadi pemimpin MCA.
"Beliau sendiri mempunyai keyakinan untuk memimpin. Jika beliau tidak ada keyakinan, beliau tidak akan bertanding," katanya.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik
---------------------------------------------------
Sembang kopitiam......

Mudah sahaja kembali bertanding - jika menang, bonus juga. Jika kalah, ramai akan memuji keberanian beliau melakar sejarah menjadi pemimpin pertama yang kembali selepas persaraan untuk bertanding demi menyelamatkan parti - tanpa mengira menang kalah. 

Sejarah MCA menyatakan selama ini hanya 2 calon sahaja yang bertanding Presiden. Sejurus selepas OTK mengumumkan keputusan beliau untuk bertanding, OKT memberikan pengumuman yang sama selang beberapa hari sahaja - cukup untuk menggambarkan media dan orang parti yang meminta beliau kembali. Sembang kopitiam - dipercayai beliau kembali untuk memutuskan nafas riwayat politik CSL..... fikir-fikirkanlah.... 

No comments:

Post a Comment